PUTRAJAYA 28 Feb. – Sokongan para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terhadap Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya kecil kawasan berkenaan Sabtu ini, dilihat kian menggalakkan.
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu lebih-lebih lagi dengan adanya penyertaan dari lima pemimpin utama pakatan berkenaan yang turun padang bertemu para pengundi.
“Kita sudah bekerja keras dan masih terus bekerja sampai selesai pilihan raya. Kita rasa yakin dalam tempoh yang terkini, nampak ada penambahbaikan dan respon pengundi bertambah menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-2, Bil. 1/2019 di sini hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya berharap peratusan keluar mengundi pada PRK Semenyih pada 2 Mac ini tinggi.
“Kita berharap akan berlaku bukan sahaja sokongan mereka tetapi juga peratusan jumlah yang akan keluar mengundi tinggi.
“Maknanya ramai yang akan keluar baik Melayu, Cina dan India kerana ini adalah hak mereka. Ini sistem demokrasi yang memberikan hak mereka untuk memilih wakil. Harus jangan sia-siakan jadi, lebih ramai turun dari mula pukul 8 pagi hingga selesai,” katanya. – UTUSAN ONLINE










