Sokong pengadil tempatan - Utusan Malaysia

Sokong pengadil tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap pengadil-pengadil tempatan dapat diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan potensi mereka selaras penubuhan badan bebas pengadil, Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM), tahun ini.

Lebih tepat, MFL menggesa kesemua pihak memainkan peranan dalam mendukung pengadil-pengadil tempatan dengan memberikan pandangan membina dan bukannya mengkritik secara rambang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, beliau bimbang kritikan terhadap pengadil tempatan memberikan kesan buruk khususnya dari sudut psikologi selepas ramai pihak telah mula mempertikaikan mutu pengadilan Liga Malaysia sejak saingan bermula, awal bulan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, Kevin berharap ke­semua pihak termasuk pemain, pasukan, media dan peminat dapat memberikan input positif kepada pengadil tempatan terutama pengadil muda yang bakal menggalas harapan memperbaiki mutu pengadilan bola sepak negara dalam era profesional.

“Dalam minggu-minggu awal Liga Malaysia ini, ramai yang mengkritik (mutu pengadilan) dan apa yang kita dapat lihat momentum itu hadir daripada setiap pasukan yang cukup meneliti setiap keputusan para pengadil.

“Boleh dikatakan semua pihak menyumbangkan keraguan atau analisis lebih mendalam terhadap persembahan pengadil kita. Jadi, kita kena faham bahawa ada di antara mereka ini akan dijadikan sebagai pengadil profesional.

“Jika kita menghancurkan keyakinan dan semangat mereka untuk menjadi pengadil profesional, kemungkinan ia akan memberi kesan pada masa akan datang dan disebabkan itu kita masih perlukan khidmat pengadil senior untuk dijadikan sebagai pengadil profesional.

“Apa yang merisaukan saya adalah dengan apa yang telah berlaku, ada di antara pengadil sukar untuk pulihkan keyakinan disebabkan setiap langkah atau keputusan mereka semuanya menjadi pertikaian semua pihak.

“Saya berharap mereka tidak akan sesekali patah semangat dan diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menjadi pengadil profesional jika ditawarkan oleh Pengurus Besar PMOM nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×