KUALA LUMPU – Sirul Azhar Umar, yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu boleh dihantar pulang ke Malaysia dengan syarat satu aku janji diberikan bahawa hukuman mati itu tidak akan dilaksana.
Seorang jurucakap Jabatan Peguam Negara Australia pada Rabu berkata, Peguam Negara mesti berpuas hati bahawa sebaik sahaja Sirul Azhar dihantar pulang atas permintaan Malaysia, dia tidak akan berdepan risiko terpaksa menjalani hukuman mati yang telah dijatuhkan ke atasnya.
“Akta Ekstradisi Australia tidak membenarkan ekstradisi dari Australia di mana kesalahan itu tertakluk kepada hukuman mati, melainkan jika satu aku janji diberikan bahawa hukuman mati itu tidak akan dikenakan atau, jika dikenakan tidak akan dilaksana,” kata jurucakap itu kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama menerusi e-mel.
Bernama mengajukan soalan berhubung nasib Sirul Azhar selepas sebuah portal berita Australia melaporkan bahawa percubaannya untuk mendapatkan suaka politik ditolak oleh sebuah mahkamah Australia pada Isnin.
Jurucakap itu juga berkata, sudah menjadi amalan kerajaan Australia tidak akan memberi kenyataan secara terbuka berhubung isu ekstradisi, termasuk sama ada ia telah menerima permintaan untuk berbuat demikian, sehinggalah individu terbabit ditahan atau dibawa ke mahkamah berdasarkan permintaan tersebut. – Bernama










