PULAU PINANG 14 Feb. – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih tidak memahami kenyataannya agar mangsa rogol mengahwini pelakunya walaupun isu itu telah dijelaskan berulang kali.
Shabudin yang secara rasmi telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kelmarin juga mencadangkan agar Guan Eng merujuk kepada ulama Muslim dan para cendekiawan Islam agar lebih memahami mengenai isu berkaitan had umur perkahwinan dalam Islam.
“Pendirian saya tetap sama, saya jawab isu ini secara akademik mana boleh ubah.
“Saya malas nak ulang benda sama, dia (Guan Eng) tak payah tanya saya kerana dia bercakap atas dasar politik, dia mempolitikkan isu ini jadi saya tak perlu jawab soalan untuk tujuan politik,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Semalam Guan Eng menegaskan, beliau tetap dengan pendirian mengecam kenyataan Shabudin berikutan cadangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu agar mangsa rogol mengahwini pelakunya sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










