TEHERAN 14 Feb. – Seramai 27 anggota Pengawal Revolusi Iran (IRGC) terbunuh dalam satu serangan pengebom bunuh diri di tenggara Iran malam semalam.
Al-Jazeera melaporkan, sekurang-kurangnya 13 anggota IRGC turut cedera dalam insiden melibatkan bom kereta yang menyasarkan sebuah bas membawa pasukan keselamatan itu.
Naib Presiden Iran, Eshaq Jahangiri yang dipetik agensi berita Iranian Students berkata, insiden tersebut tidak akan menjejaskan kehendak rakyat untuk mempertahankan revolusi Islam dan resolusi kebangsaan bagi memerangi keganasan tanpa henti, malah lebih tegas daripada sebelum ini.
Agensi berita IRNA yang memetik sumber terdekat pula melaporkan, serangan tersebut berlaku di wilayah Sistan-Baluchestan.
Wilayah tersebut terletak dalam laluan utama kegiatan penyeludupan candu dan sering menyaksikan pertempuran antara pasukan tentera Iran dengan kumpulan pemisah Baluch serta kumpulan pengedar dadah.
Serangan bom kereta itu berlaku di sebatang jalan yang terletak antara bandar Zahedan dan Khash iaitu kawasan bergolak berhampiran sempadan Pakistan.
Kumpulan bersenjata Jaish al-Adl mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
Beberapa imej yang disiarkan dalam agensi berita menunjukkan sebuah kenderaan yang dipercayai bas remuk teruk dan terbakar di lokasi kejadian.
IRGC dalam satu kenyataan mengesahkan serangan tersebut dan memaklumkan kejadian berlaku ketika pasukan dalam perjalanan pulang selepas melakukan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.
“Dalam serangan tersebut, sebuah kereta yang dipasang bom meletup di tepi bas yang dinaiki pasukan keselamatan menyebabkan puluhan anggota maut, manakala yang lain cedera,” jelas kenyataan itu.
Jurucakap Kementerian Luar, Bahram Qassemi berkata, pasukan keselamatan negara ini akan ‘membalas dendam’ atas insiden yang berlaku dan Iran turut menuduh Amerika Syarikat (AS) menyebabkan konflik di negara ini semakin teruk.
Dalam perkembangan berkaitan, pergerakan Hezbollah mengutuk serangan tersebut dengan menuduh AS, Israel dan sekutu mereka ‘punca’ kepada insiden berkenaan.










