PULAU PINANG 8 Feb. – Isu kesahihan sijil akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu diselesaikan segera kerana bukan semata-mata melibatkan soal maruah dan integriti Kerajaan Pusat.
Malah, menurut aktivis politik, Rahmad Isahak, lebih penting isu berkenaan melibatkan soal tahap keyakinan rakyat yang telah memberikan mandat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.
Tambah Rahmad yang juga bekas ahli DAP, isu itu tidak boleh dipandang remeh apatah lagi laporan polis turut dibuat pihak tertentu sekali gus memerlukan Marzuki membersihkan namanya segera dengan bukti-bukti yang nyata.
“Malah, Marzuki juga perlu segera mengambil tindakan undang-undang bagi tujuan membersihkan namanya yang kini turut menjadi perhatian media antarabangsa selain membersihkan nama Bersatu serta Kerajaan PH,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Rahmad, dakwaan terhadap Marzuki itu adalah berat dan jika berpanjangan seolah-olah membayangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terkhilaf dalam melantik seorang Timbalan Menteri daripada partinya sendiri.
“Dalam situasi yang rasional sekiranya tuduhan itu mempunyai asas kukuh, maka menjadi satu kewajipan moral untuk Marzuki meletakkan jawatan dalam Kabinet tanpa menyerahkan kedudukannya kepada budi bicara Perdana Menteri,” katanya.
Isu itu timbul apabila Marzuki pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England dan kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, kredibiliti Universiti Antarabangsa Cambridge, AS itu dipertikai kerana didakwa merupakan ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan yang tidak sah termasuk boleh dibeli. – UTUSAN ONLINE










