KOTA TINGGI 7 Feb. – Empat beranak yang terkorban dalam kemalangan tragis di sini tengah malam tadi amat teruja dan sempat bermalam di rumah baharu yang dibeli mereka di Kluang.
Menurut adik bongsu mangsa, Nor Aini Januri, 28, abangnya, Mohd. Firdaus, 34, dan isteri, Norlia Osman, 33, membeli kediaman yang terletak berdekatan rumah keluarga di Kampung Bentong, Kluang namun masih belum sempat diduduki.
“Mereka sekeluarga begitu teruja ekoran baru sahaja melawat dan melihat rumah yang dibeli berdekatan rumah keluarga di Kampung Bentong, Kluang. Sebelum itu, abang dan keluarganya bercuti di kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina dan saya juga ketika itu sedang bercuti menziarahi emak ayah,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini hari ini.
Nor Aini berkata, ketika kejadian abang dan isteri serta dua anak mereka Muhammad Adli, 6, dan Nur Dalili, 4, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kuarters guru di sini selepas habis bercuti di kampung tersebut.
Tambahnya, abangnya bekerja sebagai juruteknik elektrik manakala kakak iparnya bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi.
“Lepas ini saya akan merindui abang. Kalau balik kampung, dia selalu menyakat saya dengan mengetuk pintu bilik pada waktu pagi,” katanya dengan nada sebak.
Dalam kejadian pukul 12.33 tengah malam tadi, sebuah treler yang hilang kawalan telah merempuh sebuah kereta dinaiki empat beranak itu di Kilometer 55 Jalan Kluang – Kota Tinggi, Kota Tinggi, tengah malam tadi.
Treler terbabit kemudian terbabas ke dalam gaung sebelum merempuh sebatang pokok manakala sebuah kereta Proton Saga di belakang kereta mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan berkenaan.
Jenazah empat beranak tersebut disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas solat Zohor petang ini.











