Saya tidak cakap akan panggil Najib - Shukri  - Utusan Malaysia

Saya tidak cakap akan panggil Najib – Shukri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengesahkan terlebih dahulu sama ada berlaku kemasukan wang berjumlah RM90 juta ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas seperti yang didakwa sebelum memanggil lebih ramai individu untuk memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Shukri Abdull berkata, sama ada SPRM akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu siasatan juga adalah bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan.

“Saya tidak beritahu pun bahawa SPRM akan panggil Najib. Buat masa ini tidak pasti lagi dan bergantung kepada hasil siasatan.

“Sekarang ini, SPRM perlu mengesahkan dahulu sama ada kemasukan wang berlaku seperti yang didakwa,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Shukri berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita hari ini yang mendakwa SPRM akan memanggil Najib untuk memberi keterangan jika dakwaan parti itu membayar RM90 juta kepada Pas didapati benar.

Sementara itu, Shukri menegaskan, SPRM perlu menjalankan tugas mengikut peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan suruhanjaya itu dikaitkan dengan unsur-unsur bermotivasikan politik.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi atau andaian. Biar SPRM buat tugas mengikut peraturan dan undang-undang.

“Ingin saya tegaskan bahawa SPRM betul-betul neutral, bebas dan profesional,” katanya.

Terdahulu, Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pagi tadi dipercayai untuk membantu siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.

Kosmo! Online semalam melaporkan SPRM akan memanggil empat saksi terdiri daripada ahli politik dan individu dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan kes tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×