KUALA LUMPUR 14 Feb. – Portal Sarawak Report berjaya memperoleh beberapa keping gambar Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan lawatan ke Turki yang dikatakan tajaan syarikat nombor ramalan.
Menurut portal itu, gambar-gambar berkenaan pada mulanya dimuat naik dalam laman Facebook agensi pelancongan, Comfort Tour yang dipercayai menguruskan lawatan tersebut.
Namun kemudiannya didapati memadamkan beberapa gambar terutama melibatkan aktiviti pelancongan.
Tambah portal itu, agensi tersebut kerap memuat naik beberapa gambar aktiviti pelancong yang diuruskan mereka dalam laman media sosial untuk tatapan pelanggan.
“Biasanya gambar berkaitan kerja-kerja rasmi dalam lawatan tidak dimuat naik, walaupun terdapat satu gambar mereka semua berada di luar Ibu pejabat Polis Turki yang dilihat sebagai aktiviti utama lawatan itu diadakan,” menurut portal itu kelmarin.
Lawatan oleh pegawai PDRM tersebut dilaporkan bertujuan untuk menjalani kursus dan mendapatkan pendedahan bagi menangani masalah mengenai perjudian dalam talian.
Bagaimanapun ia menimbulkan persoalan kononnya lawatan tersebut adalah mewah selain wujud keraguan kerana ditaja syarikat ramalan nombor, Da Ma Cai.
Ramai pihak mahukan penjelasan mengapa lawatan itu ditaja syarikat ramalan nombor supaya tidak wujud konflik kepentingan antara pengiat industri ramalan nombor dan PDRM.
Berdasarkan gambar-gambar tersebut, peserta lawatan turut dibawa ke beberapa lokasi tumpuan utama di Turki.
Menurut Sarawak Report berdasarkan maklumat yang diperoleh, kumpulan lawatan itu telah meninggalkan Istanbul pada Selasa lalu dan tiba di Kuala Lumpur pukul 8.06 pagi semalam.
Portal tersebut memberitahu gambar-gambar lawatan itu dalam akaun laman Facebook agensi pelancongan itu telah .dipadamkan, namun sempat memuat turun beberapa keping gambar. – UTUSAN ONLINE










