TEMPOH berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menuju penghujungnya menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Berbaki masa yang ada ini, dapat dirasakan para pengundi di Semenyih sudah menetapkan siapakah calon yang akan dipilih nanti.
Setiap salam calon dan jentera kempen tetap mereka sambut, senyum tetap dibalas semula namun pangkah belum tentu, tetap menjadi rahsia mereka sahaja.
Tiada apa lagi yang boleh mengubah pendirian pengundi ketika ini, melainkan ada keajaiban, isu-isu besar yang tiba-tiba sahaja muncul, terutamanya perkara bermain dengan emosi yang mungkin mempengaruhi pilihan pengundi pada saat-saat akhir.
Tidak mustahil, kerana pada waktu-waktu beginilah disifatkan oleh banyak pekerja-pekerja kempen politik sebagai waktu getir yang perlu buat mereka lebih berhati-hati.
Namun begitu, kerja menambat hati pengundi tidak boleh berhenti, seramai mungkin penduduk mesti ditemui, mana tahu mungkin ada yang boleh berubah hati.
Tapi, bagi pengundi, mereka hanya menunggu waktu dan detiknya.
Tiada apa yang mereka harapkan selain wakil rakyat yang dipilih nanti boleh membawa suara mereka, mendengar keluh dan kesah.
Rakyat hanya mahukan kehidupan yang lebih baik untuk hari ini dan masa depan. Bagaimana? biarlah wakil rakyat yang dipilih itu nanti fikirkan.-UTUSAN ONLINE










