KREATIF, beraroma, enak serta hidangan panas antara pakej lengkap yang ditawarkan oleh Sizzling Boss yang terletak di No. 41, 1st Jalan Dagang 2, Dynaton Bukit Angin, Temerloh, Pahang. Restoran yang diusahakan Muhammad Aizuddin Abd. Halim, 25, itu membuktikan keberanian seorang usahawan muda menceburi bidang masakan Barat dan Cina berkonsepkan tempatan dalam kancah ekonomi yang tidak menentu.
Malah, komitmen serta kesungguhan Muhammad Aizuddin terserlah apabila dia sendiri turut memasak dan memanggang menu di atas hot plate yang menjadi identiti restoran ini. Makanan panas yang masih menggelegak terus dihidangkan di atas meja pelanggan.
Ketika penulis masuk ke dalam restoran itu baru-baru ini, pekerja Muhammad Aizuddin sudahpun menyiapkan Yee Mee Sizzling untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Aroma masakan itu terus menusuk ke hidung,sekali gus membangkitkan selera. Susun atur tempat memasak yang ringkas dan warna-warni lampu menceriakan lagi suasana malam di sekitar premis ini.
Sizzling Boss yang dibuka pada 7 Januari tahun ini merupakan outlet makanan panas ala santai yang memenuhi cita rasa golongan muda mahupun yang sudah berkeluarga menikmati makanan Barat dan Cina berkonsepkan tempatan.
Muhammad Aizuddin berkata, selepas memperoleh Diploma Animasi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2015, dia bekerja selama empat tahun di sebuah premis masakan panas yang menyediakan sajian Barat dan Asia di bandar Temerloh.
“Bermula sebagai pekerja biasa, saya kemudian dilantik sebagai pengurus premis berkenaan.
“Dari situ, saya menimba pengetahuan dan kemahiran memasak makanan panas ala Barat dan Asia. Pengalaman yang diraih itu membugarkan cita-cita saya untuk membuka perniagaan sendiri.
“Bermodalkan RM20,000, hasil simpanan dan bantuan keluarga, saya menyediakan peralatan memasak, dekorasi premis dan bahan mentah untuk memulakan langkah membuka outlet ini dengan jenama Sizzling Boss,” katanya.
Menurutnya, lokasi premis yang disewa pada kadar RM650 sebulan itu agak tersorok sedikit dengan kedai makanan lain, tetapi cepat dikenali ramai setelah tiga minggu beroperasi.
Muhammad Aizuddin berkata, Sizzling Boss menawarkan sajian panas pelbagai rasa dan enak seperti Yee Mee Sizzling berharga RM9.90, Nasi Ayam Claypot (RM9.90), Nasi Ayam Black Pepper (RM13.50), Nasi Kambing Black Pepper (RM13.50), Hot Plate Chicken Grill (RM9.90) dan Hot Plate Lamb Grill (RM14.90).
“Kebanyakan pelanggan memilih Yee Mee Sizzling dan Nasi Ayam Claypot.
“Bagi menghargai pelanggan, kami menawarkan minuman oren dan sirap percuma,” katanya.
Suami kepada Siti Norashikin Musa, 27, dan bapa kepada seorang cahaya mata lelaki berusia 10 bulan itu berkata, gabungan sos yang cukup menyelerakan seperti sos lada hitam, sos barbeku dan sos cendawan menarik pelanggan datang lagi ke kedainya.
Dibantu oleh seorang pekerja, Mohd. Akhmal Hisham Mohd. Sani, 22, katanya, Sizzling Boss dibuka pada Isnin hingga Sabtu mulai pukul 5.30 petang hingga 11.30 malam.
Menurutnya, premis itu mula beroperasi pada waktu orang ramai pulang bekerja dan mereka yang ingin bersantai pada waktu malam untuk menikmati makanan panas Barat dan Asia.
Muhammad Aizuddin menambah, perniagaannya mula dikenali ramai dan mampu memberi pulangan lumayan kerana makanan ala Barat, Cina dan Asia digemari penduduk tempatan.
Katanya, kejayaan kedai itu turut dibantu oleh sokongan ibu bapanya, Abd. Halim Basrah, 54, dan Norazli Salleh, 56, yang sentiasa menghulurkan bantuan dalam apa sahaja perkara termasuk kewangan dan pengurusan.
“Saya berhasrat melebarkan perniagaan jenama Sizzling Boss dengan membuka outlet yang sama di Jerantut, Mentakab dan beberapa tempat lain pada masa akan datang,”katanya.










