LONDON 26 Feb. – Leicester dikhabarkan telah bersetuju untuk melantik Brendan Rodgers sebagai pengurus, lapor media Britain, Sportsmail.
Pengurus berusia 46 tahun itu bersedia meninggalkan Celtic dan berpindah ke Stadium King Power selepas Leicester meyakinkan warga Ireland Utara tersebut untuk mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan Claude Puel.
Bekas pengurus Celtic, Neil Lennon, yang meninggalkan Hibs awal musim ini, dijangka menggantikan Rodgers dalam kepulangan sensasinya ke Glasgow.
Menerusi laporan Sportsmail sebelum ini, pertanyaan awal telah dilakukan sebelum Krismas, tetapi Puel berjaya menyelamatkan kedudukannya apabila melakar kemenangan ke atas Chelsea dan Manchester City.
Rodgers telah menyusun perancangan bersama Celtic dengan mensasarkan kemenangan treble, tetapi Leicester masih menyimpan harapan yang jurulatih itu boleh diyakinkan untuk melepaskan cita-citanya itu dengan membawanya kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris.
Difahamkan, Rodgers telahpun mengucapkan selamat tinggal kepada para pemainnya di pangkalan latihan kelab di Celtic Lennoxtown pada malam Isnin (awal pagi Selasa waktu Malaysia) dengan perjanjian telah dicapai pada lewat tengah malam.
Dalam satu kenyataan rasmi, Celtic berkata, bahawa mereka telahpun memberikan kebenaran kepada Rodgers untuk berunding dengan Leicester.
“Celtic hari ini mengesahkan bahawa Leicester City telah mengadakan rundingan dengan Brendan Rodgers berhubung kekosongan jawatan pengurus kelab itu. Brendan memaklumkan kepada kelab, ia merupakan satu peluang untuknya melangkah lebih jauh, walaupun keberatan, kelab memberi keizinan untuk dia berunding dengan Leicester City.”
Kali terakhir Rodgers berkhidmat di England ialah pada Oktober 2015, apabila dia dipecat Liverpool meskipun berjaya membawa kelab itu hampir merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris pada musim 2013/14. – AGENSI











