LONDON 7 Feb. – Satu pasukan siasatan yang dikendalikan oleh portal berita BBC menerusi Pasukan Penipuan NHS 2017 mendedahkan kira-kira 1.25 bilion pound (RM6.63 bilion) dipercayai dicuri daripada agensi perkhidmatan kesihatan setiap tahun oleh segelintir kakitangan NHS.
Berikut beberapa kes penyelewengan wang melibatkan kakitangan NHS:
1) Pakar pergigian, Dr. Joyce Trail menyerahkan kira-kira 7,000 invois caj rawatan bernilai 1.4 juta pound (RM7.4 juta).
Namun invois tersebut adalah palsu apabila Trail, 56, didapati tidak pernah menjalankan rawatan itu, malah ada tuntutan dibuatnya kepada pesakit yang sudah meninggal dunia.
Trail didapati bersalah melakukan penyelewengan dan dihukum penjara tujuh tahun pada Oktober 2012.
2) Penyelia di Unit Nyahkontaminasi di Hospital Ayrshire Central, Daniel Dreghorn, 42, didakwa mencuri 134 set peralatan bedah bernilai 1.3 juta pound (RM6.9 juta) dan menjualnya dalam pasaran gelap.
Dreghorn dihukum penjara empat tahun pada 2015.
3) Mark Evill mengeksploitasi kedudukannya sebagai pengurus di Jabatan Estet Lembaga Kesihatan Powys Teaching untuk memberi kontrak bernilai 707,946 pound (RM3.7 juta) kepada George Morgan Ltd., firma pembinaannya sendiri.
Evill, 43, membelanjakan duit tersebut membeli kereta mewah, hartanah dan percutian di Dubai.
Evill mengaku bersalah pada Oktober tahun lalu dan dihukum penjara tujuh tahun.
4) Royston Dyke, 49, Pengarah Bersekutu Modal dan Pembangunan di Gloucestershire Hospital NHS Foundation Trust dan bertanggungjawab meluluskan invois kontraktor.
Dyke didapati mengemukakan 204 invois bernilai 3,000 hingga 5,000 pound (RM15,905-RM26,509) untuk kerja-kerja yang tidak pernah dilakukan.
Perbuatannya terbongkar dan dihukum penjara empat tahun lapan bulan pada Mei lalu.
5) Sebagai ketua tukang kunci di Hospital Guy dan St. Thomas di London, Andrew Taylor bertanggungjawab mendapatkan tukang kunci terbaik dan melantik syarikat Surety Security untuk tujuan itu.
Syarikat tersebut adalah miliknya dan digunakan untuk mengaut keuntungan sehingga 1,200 peratus dan melakukan penyelewengan sebanyak 598,524 pound (RM3.2 juta).
Taylor didapati membelanjakan wang itu untuk yuran sekolah persendirian anaknya dan membeli kereta mewah.
Dia didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun pada Mac tahun lalu.
6) Sebagai doktor klinik unit perfusi (aliran darah) di Basildon dan Hospital Trust Thurrock di Essex, John Mulholland mempunyai reputasi antarabangsa dan namanya diterbitkan dalam jurnal perubatan.
Mulholland memiliki syarikat swasta yang membekalkan kakitangan NHS di tempat lain – jadi dia dan rakannya dibayar untuk bekerja sepenuh masa di Basildon.
Tetapi satu siasatan mendedahkan Mulholland, 45, dan rakan-rakan subahatnya, Ann Clements, 55; Tom Cumberland, 46; dan Martin Oliver, 41, dibayar 14,000 jam untuk kerja yang tidak pernah dilakukan, menyebabkan NHS kerugian 430,000 pound (RM2.8 juta).
Kesemuanya didakwa pada 2014 serta Mulholland dihukum penjara tiga tahun, manakala rakan subahatnya masing-masing dipenjara dua tahun.
7) Deborah Hancox dan pasangannya John Leigh memegang jawatan sebagai Pengurus NHS dan pengusaha internet menipu NHS dengan membeli peralatan komputer daripada beberapa syarikat yang mereka miliki secara rahsia.
Pasangan itu mengaut keuntungan lebih 60 peratus, kira-kira 330,000 pound (RM1.7 juta) daripada sejuta pound (RM5.3 juta) penjualan.
Kegiatan mereka berjalan selama tujuh tahun sebelum terbongkar pada 2008 dan Hancox dihukum penjara dua tahun pada 2014 manakala Leigh pula dipenjara selama 44 bulan.
8) Penjaga tempat letak kenderaan di Hospital Wythenshawe di Manchester, Peter O’Garro didakwa mencuri wang tunai berjumlah 200,000 pound (RM1.1 juta) melalui mesin duit selama tujuh bulan.
Kegiatan jenayahnya mendapat sokongan isteri, Karen, jururawat di hospital sama.
Bagaimanapun, O’Garro berjaya ditahan dan dipenjara selama tiga tahun pada Disember tahun lalu.










