PUTRAJAYA 28 Feb. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar terus komited untuk membantu masyarakat luar bandar dalam mengembangkan perniagaan mereka menerusi pemberian Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) kepada 39 orang usahawan dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pemberian pembiayaan itu dapat memberi peluang kepada banyak usahawan yang menghadapi masalah kekurangan modal bagi memajukan perniagaan mereka.
“Kriteria bagi pembiayaan ini antaranya sudah pasti mereka yang memohon terlibat bidang-bidang tertentu iaitu 12 kelas termasuk perkhidmatan dan kecantikan. Dari segi permohonannya, ia akan melibatkan pihak SME Bank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat).
“Minimumnya adalah mereka berniaga dalam tempoh satu tahun, yang sedia ada ini pun kita pertingkatkan. Bukan sahaja yang baharu tetapi juga yang sedia ada, kita hendak melonjakkannya ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek SPED Sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rina berkata, tempoh bayaran balik bagi pembiayaan SPED adalah dalam tempoh lima tahun.
“Sekiranya usahawan yang menerima pembiayaan ini melakukan pembayaran secara konsisten, mereka akan menerima rebat sebanyak 30 peratus potongan daripada keseluruhan pinjaman.
“Sebagai contoh, sekiranya mereka menerima SPED sebanyak RM100,000 dan mendapat potongan sebanyak RM30,000. Ia sekali gus dapat membantu usahawan sekiranya terus komited untuk melunaskan pembiayaan mereka,” katanya.
Sementara itu, selaras inisiatif Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (Inotekdesa) jelas beliau, kementerian akan mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) pada 17 hingga 21 Oktober depan di Putrajaya.
Menurutnya, kementerian juga akan mengadakan empat jelajah KUD sebelum berakhir di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan iaitu di Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Sabah.
“Saya berharap KUD kali ini akan memperkukuh usaha mempertingkatkan jaringan antara usahawan luar bandar dan pembekal mesin serta seterusnya meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan para usahawan serta meninggikan produktiviti mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










