Pengambilan suplemen bagi tujuan kecantikan bukan perkara asing dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Manakan tidak, memiliki kulit wajah yang cantik menjadi kegilaan ramai sehingga terdapat wanita menghabiskan wang dalam jumlah yang besar bagi mendapatkan produk tertentu.
Menurut Pakar Perunding Dermatologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Prof. Madya Dr. Adawiyah Jamil, pengambilan suplemen bagi tujuan kecantikan perlu mengambil kira keadaan kulit terlebih dahulu.
‘‘Perkara paling penting adalah pengguna perlu tahu apa yang mereka inginkan sama ada kulit yang sihat atau cantik semata-mata,’’ katanya kepada Mega Rona.
Dr. Adawiyah berkata, masyarakat kini lebih tertarik untuk mengambil jalan pintas dalam memilih keperluan mengekalkan keremajaan kulit.
‘‘Kulit yang sihat datang dari tubuh yang sihat. Pengambilan suplemen untuk kecantikan bukan satu keperluan, tetapi adalah satu pilihan bergantung kepada individu untuk mengambilnya atau tidak. Jadi, mereka perlu memilih dengan bijak dan teliti terhadap kandungan tersembunyi yang terdapat dalam produk yang diperoleh,’’ ujar Dr. Adawiyah.
Dalam hal ini, pengguna juga perlu peka terhadap sebarang keluaran produk suplemen kecantikan yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan memandangkan ia didaftarkan sebagai suplemen makanan.
‘‘Kementerian meluluskan sesuatu produk hanya sebagai suplemen makanan. Pihak kementerian tidak bertanggungjawab memastikan tujuan penggunaan suplemen tersebut yang dikatakan berfungsi sebagai pencerah kulit atau boleh mengembalikan keremajaan,’’ tambahnya.
Menurutnya, pengasas suplemen yang diambil dari kilang OEM (Original Equipment Manufacturer) dengan kelulusan kementerian bertanggungjawab memastikan produk tersebut tidak mengandungi bahan terlarang atau melebihi dos agar tidak menimbulkan masalah.
Teliti kandungan suplemen
Menurut Dr. Adawiyah, terdapat beberapa bahan yang sering digunakan bagi menghasilkan produk suplemen.
‘‘Glutathione sering menjadi pilihan kepada mereka yang menginginkan kulit putih. Secara saintifiknya, ia berkesan untuk memutihkan kulit, namun dos yang betul-betul sesuai belum dapat dikenal pasti,’’ katanya.
Tambahnya, warna kulit bagi orang Asia tidak seharusnya putih seperti penduduk negara Barat kerana perbezaan melanin iaitu pigmen yang menghasilkan warna kulit.
‘‘Kesan pemutihan bukan hanya dapat dilihat pada kulit luar sahaja. Malah melanin yang dikeluarkan juga sama seperti orang putih di negara Barat. Keadaan ini membimbangkan kerana melanin penduduk dunia adalah berbeza.
‘‘Trend pengambilan glutathione berterusan bagi jangka masa pendek mungkin tidak menampakkan kesan begitu teruk, namun saya khuatir untuk tempoh 10 tahun akan datang mereka berisiko tinggi mendapat kanser kulit,’’ katanya.
Menurut Pengambilan Harian yang Disyorkan (RDA), kuantiti pengambilan vitamin C harian yang diperlukan badan adalah tidak melebihi 2,000 miligram.
‘‘Sekiranya pengguna mengambilnya dalam dos yang banyak, vitamin C tidak akan disimpan di dalam badan dan akan dikeluarkan secara semula jadi melalui buah pinggang,’’ ujarnya.
Katanya, pengambilan vitamin C dengan dos yang sangat tinggi dalam jangka masa lama berpotensi membebankan proses perkumuhan buah pinggang.
Selain itu katanya, pengambilan kandungan asid Tranexamic secara oral mahupun suntikan mampu memutihkan kulit jika diambil dalam dos yang tinggi.
‘‘Dalam bidang perubatan, doktor menggunakan asid ini bagi tujuan memberhentikan pendarahan dan menggalakkan pembekuan darah. Pengambilan asid Tranexamic yang tinggi boleh menyebabkan darah membeku di dalam tubuh yang tidak sepatutnya ia membeku,’’ ujar Dr. Adawiyah.
Ada kalori tinggi
‘‘Ramai yang tidak sedar bahawa suplemen juga mengandungi kalori yang tinggi sekiranya menggunakan bahan karbohidrat dan protein. Suplemen berkalori tinggi dengan penambahan steroid menyebabkan kita berselera makan lebih banyak,’’ ujarnya. Dalam aspek suplemen kurus, terdapat beberapa produk mempunyai kandungan hormon yang mampu menyebabkan masalah terlebih hormon.
‘‘Hormon Thyroxine yang digunakan dalam ubat kurus boleh menyebabkan masalah thyrotoxicosis atau terlebih hormon tiroid. Memang boleh kurus tetapi biasanya berlaku komplikasi lain seperti jantung sering berdebar, berpeluh dan tangan menggigil,’’ katanya.
Organik bukan jaminan
Permintaan dalam pasaran menyebabkan sesetengah pihak mewujudkan pelbagai produk daripada bahan organik.
‘‘Ia tidak menggunakan bahan kimia, tetapi potensi kesan sampingan mahupun alahan adalah sama kerana ia mengikut ketahanan tubuh masing-masing. Ia memang bagus, tetapi masih ada potensi untuk mendatangkan masalah,’’ tambahnya.
Mengulas lanjut Dr. Adawiyah berkata, kolagen dan elastin yang terdapat pada kulit akan berkurangan mengikut pertambahan usia menyebabkan sesetengah daripada kita kehilangan keanjalan lebih cepat walaupun usia sebaya.
‘‘Kuasa media sosial pada hari ini sangat kuat menyebabkan sebahagian besar masyarakat mula tidak mempercayai doktor perubatan sehingga berani mengambil pendekatan alternatif. Tugas pihak kesihatan dalam mendidik mereka agak mencabar kerana setiap rawatan memerlukan penjelasan mendalam,’’ katanya.
Menurutnya, selamat ataupun tidak sesuatu suplemen bergantung kepada kandungan yang digunakan. Namun, sebilangan besar tidak mempamerkan senarai kandungan dengan betul.
‘‘Pengguna perlu meneliti label suplemen sebelum membuat pembelian,” katanya.
Dr. Adawiyah menegaskan, memiliki kulit yang sihat lebih penting daripada kulit yang cantik kerana mampu mengelakkan kita daripada ditimpa masalah.
‘‘Tiada jalan pintas untuk mengekalkan kecantikan kulit. Apa yang boleh dilakukan adalah mengehadkan kulit terdedah dengan cahaya matahari, menggunakan krim pelembap pelindung matahari, amalan diet pemakanan yang seimbang dan bijak mengawal tekanan seharian,’’ ujarnya.










