KUALA LUMPUR 28 Feb. – Niat murni seorang pelajar tingkatan dua yang ingin mendedahkan kegiatan membawa rokok ke dalam asrama memakan diri selepas dia dipukul hingga patah tangan kanan.
Difahamkan, remaja berusia 14 tahun itu dipukul beberapa remaja lain berusia 19 tahun di Asrama Sentosa, Jalan Sentul di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, satu laporan polis telah dibuat berkenaan kes tersebut pada pukul 6.30 petang semalam.
“Mangsa berusia 14 tahun itu mengalami patah tangan kanan dan kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Punca mangsa dipukul dipercayai kerana suspek tidak puas hati dengan mangsa yang hendak memaklumkan kepada pihak warden mengenai kegiatan suspek yang membawa rokok ke asrama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek-suspek yang memukul mangsa telah dikenalpasti namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – UTUSAN ONLINE











