HULU LANGAT 20 Feb. – Rakyat hanya mahu mendengar ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih mengenai apa yang boleh dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantu pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukan isu-isu yang berkaitan bekas Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat juga mahu melihat parti mana yang boleh membantu kawasan ini.
Katanya, beliau bukan calon bertanding di kawasan DUN berkenaan untuk dijadikan modal berkempen PH.
“Rakyat nak dengar apa kerajaan boleh buat, parti mana boleh bantu dari segi pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Itu persoalan pokok.
“Jadi maknanya, dia (PH) sudah tersasar. Kalau nak cakap fasal saya, isunya bukan saya, isunya PRK,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pekan Rabu Beranang, Beranang dekat sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai ceramah PH yang sering menyebut namanya sebagai modal dan bahan berkempen pada PRK DUN Semenyih.
Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz.
Najib turut menempelak Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencabar dirinya membawa isteri untuk turun berkempen pada PRK DUN Semenyih.
Beliau berkata, tidak perlu hal isteri dicampurkan dalam urusan PRK.










