Hati ibu bapa mana yang tidak risau apabila anak yang dikandung selama sembilan bulan lahir ke dunia menderita penyakit kronik.
Rapuh hati kedua ibu bapa Mohammad Al-Qawiy Muhd. Haniff, 5, apabila melihat anak kecil itu menangis menahan sakit dan perlu menjalani empat pembedahan sejak dilahirkan akibat komplikasi jantung.
Namun kesedihan itu perlu dilupakan demi melihat anak itu terus kuat melawan penyakit serta bagi mengelak dia menyedari perubahan emosi ibunya.
Itu yang dihadapi Wan Haryanie Zolkepli, 32, apabila mengetahui sejak berusia tujuh bulan dalam kandungan, bayinya hanya mempunyai satu pacu jantung (chamber), itu pun tidak berfungsi.
Apabila lahir, bayinya terpaksa ditahan di unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan kerana perlu sentiasa dipantau oleh pakar selain perlu mengambil ubat bagi membantu saluran pernafasan berfungsi dengan baik.
Sejak itu, menjadi rutin Wan Haryanie bersama suaminya, Muhd. Haniff Muhd. Supian untuk berulang alik ke hospital bagi membawa Mohammad Al-Qawiy menjalani pemeriksaan doktor dan rawatan.
“Pernah pada satu masa keadaan anak saya kritikal dan perlu dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan.
“Ketika itu, saya diminta menunggu di ruang menunggu sementara doktor dan pasukannya menjalankan tugas. Saya tidak tahu perkembangan anak saya, cuma terdengar pegawai menyebut namanya dan keadaan anak saya ketika itu amat kritikal.
“Saya cuba mendapatkan status keadaan anak melalui jururawat dan pegawai di sana, tetapi agak sukar kerana doktor yang terlibat dalam pembedahan tersebut tiada ketika itu dan mereka tidak dapat memberikan laporan penuh.
“Pada masa itu saya hanya mampu menangis dan mengharapkan keajaiban agar anak mampu melawan sakit. Hanya selepas bertemu doktor dan mengetahui keadaan anak yang sebenar barulah saya berasa lega,” katanya mengenang peristiwa itu.
Seperti namanya, Mohammad Al-Qawiy yang bermaksud maha kuat, anak bongsu daripada dua beradik itu tidak pernah mengalah melawan kesakitan yang dihadapi walaupun pada saat kritikal.
“Ketika berusia sebulan, Al-Qawiy sekali lagi menjalani pembedahan kerana masalah jantung.
“Setiap tahun Al-Qawiy perlu menjalani pembedahan dan baru-baru ini kami dikejutkan oleh doktor bahawa lubang di jantungnya semakin membesar menyebabkan beberapa bahagian seperti mulut, lidah dan jari menjadi biru,” katanya.
Mohammad Al-Qawiy juga kerap mengadu sakit kaki, namun sehingga kini doktor masih tidak mengenal pasti punca kesakitan tersebut.
Wan Haryanie yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta menghabiskan kebanyakan masa di hospital.
“IJN dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sudah seperti rumah kedua saya. Sungguhpun begitu, saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sedikit pun saya tidak mengeluh mengenangkan nasib kami, malah percaya perancangan Allah itu indah,” katanya yang ditemui di kediamannya di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Nasib Wan Haryanie sekeluarga baik apabila pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Kami menerima bantuan susu khas daripada Baitulmal pada setiap bulan. Bantuan ini sudah cukup meringankan beban sekeluarga kerana susu khas untuk menambah berat badan Al-Qawiy agak mahal di pasaran.
“Selain itu, saya turut membuat pelbagai kerja sambilan seperti menjual kek, alat solek, penapis udara dan penapis air bagi menambah pendapatan keluarga,” ujarnya.
Walaupun anaknya tidak seperti kanak-kanak yang bebas melakukan pelbagai aktiviti, namun cukup baginya melihat Mohammad Al-Qawiy sihat, dapat bermain serta ke sekolah.
“Al-Qawiy perlu bergantung pada ubat seumur hidup. Anak saya perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk menutup lubang pada jantung yang semakin membesar, namun masih menunggu laporan daripada doktor. Terakhir, doktor memberitahu jantungnya masih belum bersedia menerima satu lagi pembedahan,” tambahnya.
Terima takdir Allah
Hampir lima tahun berulang alik ke hospital membolehkan Wan Haryanie berkongsi pengalaman dengan ibu bapa yang turut memiliki anak sakit dan keadaan yang serupa dengan Mohammad Al-Qawiy.
“Ada yang berikan kata-kata positif, ada yang memberikan nasihat untuk saya terus kuat, ada yang membantu meringankan beban. “Alhamdulillah melalui bantuan dan motivasi yang diberikan, saya mampu melawan rasa takut dan sedih dalam menghadapi dugaan ini.
“Walaupun ada dalam kalangan anak mereka pergi menghadap Ilahi pada usia semuda tujuh atau 11 tahun, saya percaya takdir dan rezeki setiap manusia itu berbeza. Selagi Al-Qawiy berada di sisi, saya akan terus kuat memberi bantuan rawatan kepadanya,” ujarnya.
Tidak mahu berselindung, Wan Haryanie percaya Allah memberi ujian kepadanya atas dasar kasih dan sayang.
“Saya berharap anak saya membesar dan dapat menjalani hidup seperti kanak-kanak lain. Saya sentiasa berfikiran positif, terus berdoa agar Allah memberi kesihatan yang baik serta berpanjangan buatnya.
“Saya diberitahu oleh doktor bahawa semakin Al-Qawiy membesar, perkembangannya akan semakin menurun dan perlu menggunakan oksigen yang lebih banyak serta memberi kesan kepadanya seperti mudah letih,” katanya.










