KUALA NERUS 26 Feb. – Set penjagaan kulit berasaskan propolis kelulut hasil ciptaan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya meraih Anugerah Khas dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, baru-baru ini.
Produk Propoplus : Trigona Beauty yang dibangunkan oleh Prof. Madya Dr. Khamsah Suryati Mohd. daripada Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) itu turut memenangi pingat emas dalam pertandingan reka cipta dan inovasi berkenaan.
Kemenangan terbaharu itu sekali gus mengulangi pencapaiannya dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat universiti, kebangsaan mahu pun antarabangsa sebelum ini.
Menurut Dr. Khamsah, produk yang dibangunkan menerusi formulasi khas hasil kajian lebih enam tahun terhadap propolis kelulut itu terdiri daripada pencuci muka, toner dan pelembab dua dalam satu.
Katanya, Propoplus : Trigona Beauty tidak memudaratkan kulit pengguna, bahkan sesuai dipakai untuk semua jenis kulit di samping bercirikan mesra wuduk.
“Sebelum ini propolis hanya dibuang sahaja disebabkan kurang pengetahuan teknologi ‘know-how’ dalam kalangan penternak kelulut terhadap proses pengekstrakan propolis.
“Namun, kajian yang melibatkan empat geran penyelidikan dan penghasilan lebih 10 penerbitan ini telah membuktikan potensi yang tinggi propolis kelulut dan mengandungi bahan-bahan yang amat sesuai untuk dijadikan produk penjagaan kulit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr. Khamsah, Propoplus : Trigona Beauty telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan dipatenkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Katanya, set penjagaan kulit itu juga sedia untuk dipasarkan tidak lama lagi dan UniSZA telah melantik syarikat YMR International Marketing Sdn. Bhd. bagi tujuan pemasaran tersebut.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof. Ir Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, UniSZA telah menghantar 10 penyertaan melalui sembilan orang penyelidik untuk MTE pada kali ini dengan berjaya meraih enam pingat di samping Anugerah Khas.
“UniSZA sentiasa berusaha menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada agensi kerajaan, masyarakat dan industri, “ katanya. – UTUSAN ONLINE











