PRK Semenyih: Polis klasifikasi insiden kekecohan di bawah Seksyen 353, 147/323 - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: Polis klasifikasi insiden kekecohan di bawah Seksyen 353, 147/323

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Insiden kekecohan yang berlaku selepas selesai hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Semenyih diklasifikasikan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan 147/323 kanun yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, laporan pertama diterima pada pukul 1.20 petang daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Menurut laporan tersebut, anggota berkenaan mendakwa telah dikasari dan dipukul dari arah belakang oleh suspek yang tidak dikenal pasti dalam usahanya menyelamatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang.

“Bagi tindakan siasatan, polis mengklasifikasikan siasatan ini di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sementara laporan kedua pula diterima pada pukul 2.30 petang yang dilaporkan sendiri oleh Syed Saddiq di Balai Polis Sg. Way, Petaling Jaya. 

“Dalam laporan tersebut Syed Saddiq mendakwa telah diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang. Bagi tujuan siasatan, kes ini di klasifikasikan di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatang kecederaan dan merusuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan diseru untuk menyalurkan maklumat atau menghubungi terus pegawai penyiasat iaitu Asisten Superintendan Radzee Jamudi di talian 019-6655811 dan Inspektor Sallena di talian 017-6424007,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN