SEMENYIH – Seramai 676 pengundi awal atau 78 peratus keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih di Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan juga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.
Jumlah pengundi berdaftar bagi mengundi awal adalah seramai 858 orang yang terdiri daripada anggota dan pegawai polis termasuk ahli keluarga mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 92 orang mengundi di IPD Kajang manakala 584 orang lagi mengundi di Kem PGA Semenyih.
“Jumlah dan peratusan keluar mengundi ini adalah setakat pukul 5 petang tadi.
“Baki anggota polis yang tidak hadir mengundi itu kita dapati antaranya kerana cuti kecemasan akibat hal keluarga, penugasan di luar kontinjen dan ada juga yang sudah ditamatkan perkhidmatannya,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih hari ini.
Ketika diminta mengulas tentang insiden pihak polis menghentikan dua ceramah oleh dua parti politik di kawasan berdekatan di Kampung Baru Semenyih pada malam Ahad lalu, beliau berkata, salah satu parti tersebut tidak mempunyai permit ceramah.
“Polis sudah memberi amaran tetapi mereka tetap mahu meneruskan juga ceramah berkenaan.
“Oleh sebab itu, kita minta mereka hentikan ceramah tersebut,” ujarnya.
Pada Ahad lalu, polis telah menghentikan dua ceramah oleh parti DAP dan MCA yang dibuat dengan jarak hanya 100 meter antara mereka. – K! ONLINE










