SEREMBAN – Pakar bius, Dr. S. Streram berkata, beliau akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan berikrar tidak akan bertanding sebagai calon bebas sekiranya tidak terpilih sebagai calon, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau itu bagaimanapun menegaskan meskipun tidak terpilih, namun beliau akan tetap turun padang membantu jentera dan memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Keputusan di tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin PH yang lain. Jadi biarlah mereka tentukan calon yang layak bertanding dalam pilihan raya kecil itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Streram yang ditanya mengenai sama ada namanya turut berada dalam senarai calon PRK berkenaan berkata, sesiapa sahaja boleh menjadi calon mewakil PH dan beliau akan menerimanya dengan berlapang dada.
“Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin boleh mencadangkan sesiapa yang dia suka, itu hak dia. Dia sebagai seorang wanita, sudah pasti akan perjuangan hak wanita untuk kerusi Parlimen dan DUN tetapi keputusan akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH. – Bernama










