PUTRAJAYA 14 Feb. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Sabtu ini berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon adalah bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 pagi di Dewan Seri Chempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang.
Beliau berkata, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan juga penyokong atau mana-mana seorang daripada mereka.
“SPR mengingatkan kepada bakal-bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya agar membawa resit pembayaran deposit tersebut pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
“Selain itu, mereka yang bertanding mewakili parti politik, adalah diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhar Azizan, bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman tanpa sebarang gangguan, semua pihak diminta sentiasa mematuhi undang-undang dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] memperuntukkan mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon seperti penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, orang ramai juga adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon, sekiranya ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini tindakan undang-undang boleh dikenakan. – UTUSAN ONLINE










