Prestasi kewangan TM merosot - Utusan Malaysia

Prestasi kewangan TM merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM153.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, merosot berbanding RM929.75 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar berkata, perolehan kumpulan turut menyusut kepada 11.82 bilion bagi tahun kewangan 2018 berbanding RM12.08 bilion pada tahun sebelumnya.

“Penurunan berkenaan di­sebabkan prestasi merosot daripada aset rangkaian yang diiktiraf TM pada suku ketiga 2018 yang mana, ia membawa penurunan sebanyak 65.9 peratus dalam keuntungan operasi sebelum kewangan kepada RM375.5 juta daripada RM1.10 bilion sebelum­nya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi suku keempat ber­akhir 31 Disember 2018, keuntungan bersih merosot kepada RM69.66 juta berban­ding RM277.01 juta dalam suku keempat 2017,” katanya pada sidang akhbar di Menara TM, Jalan Pantai Baharu di sini semalam.

Menurut Imri, prestasi kurang memberangsangkan itu di­sebabkan impak ketidaktentuan dalam industri dan persekitaran operasi sepanjang tahun lalu selain menyifatkan 2018 sebagai tempoh yang mencabar kepada TM.

“Kami menjangkakan persekitaran industri akan kekal mencabar pada tahun ini dan turut memberi kesan kepada operasi perniagaan.

“Bagaimanapun, TM akan berusaha mendepani landskap yang kompetitif de­ngan menawarkan lebih daripada sekadar sambungan sebaliknya menyediakan penyelesaian pada masa hadapan.

“TM juga bakal meneruskan fasa transformasi berikutnya menerusi Program Peningkatan Prestasi 2019-2021 bagi memastikan kemampanan jangka panjang serta daya tahan kami ke arah membentuk TM baharu yang berorientasikan pelanggan,” jelasnya.

Selain itu, TM bakal mem­peruntukkan perbelanjaan mo­dal antara 19 hingga 20 peratus daripada keseluruhan perolehan syarikat pada tahun 2019 iaitu kadar sama panduan perbelanjaan bagi tahun kewangan sebelumnya.

“Peruntukan berkenaan akan dibelanjakan bagi tujuan pe­ningkatan dan penambahbaikan sambungan serta infrastruktur digital.

“Selain itu, kami akan memperkukuhkan keupayaan dalam perkhidmatan kepada tujuh vertikal industri utama.

“Antaranya ialah perbankan dan kewangan, mi­nyak dan gas, hartanah, kesihatan dan pendidikan, pertahanan dan keselamatan, perkhidmatan perkongsian awam serta peruncitan,” jelas­nya.

Jumlah perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2018 adalah sebanyak RM2.14 bilion atau 18.1 peratus daripada hasil, lebih rendah berbanding panduan per­belanjaan tahun penuh TM antara 19 dan 20 peratus daripada hasil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN