PULANG ke kampung halaman di Gerik, Perak pada hujung minggu lalu membuatkan penulis sentiasa ingin berdamping dengan kipas angin. Kalau orang kampung, bagi mereka ini petanda sedang berada dalam musim kemarau bila panas teriknya tidak seperti selalu dan pokok getah mula togel bila daun-daunnya jatuh berguguran.
Musim ini penoreh getah pun ‘gantung pisau menoreh’ kerana hasil susu getah tidak seberapa, jadi makin terhimpit kewangan kerana hasil jualan susut ditambah harga getah pula masih rendah.
Bagi orang meteorologi, ada jawapan mengapa bahang panasnya buat semua tidak senang duduk dan berpeluh satu badan seperti masuk sauna. Ia adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut hingga akhir Mac.
Kekurangan atau ketiadaan hujan menyebabkan suhu naik sekitar 34 hingga 36 darjah Celsius berbanding suhu biasa antara 32 dan 34 darjah Celsius.
Maklumat terkini Jabatan Meteorologi melaporkan beberapa kawasan mengalami gelombang haba Tahap Satu iaitu berjaga-jaga. Malah 10 kawasan dilaporkan mengalaminya seperti Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Sik, Kota Setar, Kubang Pasu dan Chuping.
Suhu yang dicatat mencecah 36.9 darjah Celsius, jadi penulis memahami mengapa panas di Gerik tidak seperti di Nilai di mana penulis tinggal. Dalam suasana gelombang panas ini, senario semasa menambah lagi bahang dengan beberapa perkembangan terkini yang bikin ‘panas’ rakyat berdasarkan pemerhatian penulis.
Sikap tidak menghormati dan menjaga sensitiviti agama Islam kembali mencetus amarah khususnya orang Melayu. Hantaran di Facebook yang menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW disifatkan amat melampau. Pelakunya sudah masuk kategori warga emas telah ditahan polis tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Keterangan saksi-saksi inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib juga ibarat membuka kembali luka lama. Harapan kepada pihak berkuasa agar pelaku kedua-dua kes ini kelak dikenakan hukuman yang berat dan setimpal.
Melewati sembilan bulan Pakatan Harapan (PH) memimpin negara, harapan rakyat masih belum pudar untuk melihat setiap manifesto dijanjikan dapat ditunaikan. Kerajaan baru-baru ini mengumumkan cadangan pemansuhan tol di beberapa lebuh raya di Lembah Kelang dengan digantikan mekanisme caj kesesakan.
Keluhan rakyat adalah untuk disemak kembali waktu tol percuma dan kadar caj bayaran yang dikenakan. Jika pemansuhan tol secara total sesuatu yang mustahil dengan ekonomi negara kini, alternatif yang ditagih ialah pengurangan kadarnya. Walaupun sekitar 40 sen hingga 90 sen misalnya, tetapi bagi pengguna tegar tol, ini rahmat besar.
Senario politik tanah air juga membuatkan rakyat gelisah kerana ketidakstabilan politik negara akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur. Ketika UMNO dan Pas dilihat makin akrab di blok pembangkang, rakyat menghidu adanya gelora dalam rumah tangga PH.
Kelantangan beberapa pemimpin parti komponen menghentam Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sesama mereka secara terbuka seperti ada yang tidak kena dengan ‘perkahwinan’ ini, bak kata pepatah, jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang.
Tetapi itulah unik dan seninya politik, hari ini bercakaran hebat ataupun puluhan tahun bermusuh ketat, suatu masa boleh kembali berpeluk mesra dan berjabat erat.
Satu kebetulan, satu musim lagi yang sedang melanda negara ialah musim pilihan raya kecil. Baru selesai di Cameron Highlands, kini berlangsung di Semenyih dan selepas itu di Rantau pula. Pesan penulis, tunaikan kewajipan sebagai pengundi dan buat pilihan bijak!
PENULIS ialah Pegawai Tabir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










