ALOR SETAR – Polis berjaya menahan tiga lelaki warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kejadian menutup pintu sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini Ahad lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 50 tahun itu ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, anggota polis di ICQS berjaya mengesan tiga suspek terbabit ketika mereka mahu masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport yang sah.
“Mereka disyaki antara individu dalam kumpulan penunggang motosikal tambang dari Thailand yang menutup pintu pagar sempadan kepunyaan Malaysia daripada semua lalu lintas selama 15 minit Ahad lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan yang dilakukan mendapati kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati kumpulan motosikal tambang warga Thailand itu terhadap penguatkuasaan pihak polis di ICQS.
“Penguatkuasaan dilakukan ke atas kumpulan tersebut yang didapati hanya cop masuk ke Malaysia sekali sahaja tetapi berulang-alik tanpa mengemaskini cop keluar Malaysia,” ujarnya.
Menurut Mior Faridalathrash, tindakan pihak polis yang meminta kumpulan itu menghentikan perbuatan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dan mereka kemudian menunjukkan bantahan dengan cara menutup pintu pagar sempadan kepunyaan Malaysia.
“Selain itu, suspek yang disyaki penambang turut mengeluarkan kata-kata berbaur tohmahan dan ugutan ke atas anggota polis,” jelasnya.
Beliau berkata, dua laporan polis telah dibuat oleh pegawai imigresen di ICQS berkaitan penutupan pintu pagar sempadan Malaysia dan satu lagi dibuat oleh anggota polis bertugas di kompleks sama susulan viral peti suara WhatsApp berbaur tohmahan dan ugutan.
Tambahnya, tiga suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 507 KK kerana ugutan jenayah -K! ONLINE










