KUALA LUMPUR 14 Feb. – Polis akan menyiasat dahulu laporan yang dibuat Pemuda Pas berhubung dakwaan bahawa DAP menerima dana asing termasuk dari Israel.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Noor Rashid Ibrahim berkata, dia belum menyemak lagi laporan yang dibuat pihak terbabit.
“Untuk kes penerimaan dana, kita akan siasat dulu untuk kegiatan apa dan sebagainya.
“Kalau dana yang diterima itu tidak berkait dengan sebarang kesalahan jenayah, maka tidak ada tindakan akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Kolokium Kaunselor Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM, di sini hari ini.
Semalam, Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli bersama kesemua wakil Dewan Pemuda Pas negeri melakukan laporan polis berhubung penerimaan dana oleh DAP dari Israel.
Menurut Ahmad, jika Pas boleh disiasat berhubung penerimaan dana RM90 juta, maka tiada alasan yang sepatutnya menghalang siasatan sama dilakukan terhadap DAP. – UTUSAN ONLINE










