KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima dua laporan berhubung insiden kekasaran yang dialami oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman oleh kumpulan pembangkang Barisan Nasional (BN) ketika hendak meninggalkan pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, satu laporan dibuat oleh anggota polis yang menyelamatkan beliau di Balai Polis Kajang pada 1.20 petang tadi manakala laporan kedua dibuat oleh Syed Saddiq sendiri di Balai Polis Sungai Way pada 2.30 petang.
“Satu laporan polis dibuat oleh anggota yang menyelamatkan Syed Saddiq menyatakan dirinya turut dipukul dari arah belakang sewaktu cuba menyelamatkan dan meleraikan keadaan.
“Pihak polis masih dalam tindakan merakam percakapan saksi-saksi sebelum mengklasifikasikan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya melalui satu kenyataan di sini.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu, Syed Saddiq mendakwa telah dikasari oleh penyokong BN sewaktu dalam perjalanan menuju ke kereta sebaik selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Bagaimanapun, beliau berjaya diselamatkan oleh anggota polis bertugas serta anggota Unit Amal PAS yang bertindak mengiringi Ahli Parlimen Muar itu ke kereta. – K! ONLINE










