KUALA LUMPUR 25 Feb. – Dalam usaha untuk menjadikan Harimau Malaya berada dalam kedudukan 34 terbaik di Asia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif menganjurkan Piala AirMarine 2019 pada Mac ini untuk memberi peluang kepada skuad kebangsaan meraih mata berharga.
Skuad negara yang kini menghuni kedudukan ranking ke-35 dalam zon Asia dan ke-167 di ranking FIFA, perlu berada di tangga ke-34 bagi mengelakkan beraksi dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022.
Pasukan yang menduduki tangga 35 hingga 46 harus melalui pusingan pertama playoff sebelum memasuki peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, penganjuran kejohanan itu akan memberi manfaat kepada pasukan negara dalam memperbaiki ranking.
“Malaysia kini di kedudukan ke-35 dan kita perlu berada di kedudukan ranking ke-34 zon Asia bagi mengelak beraksi pada pusingan pertama playoff kelayakan Piala Dunia 2022. Penganjuran Piala AirMarine merupakan platform terbaik untuk pasukan negara bermain dalam perlawanan kompetitif, selain membantu melonjak kedudukan ranking lebih tinggi.
“Pemilihan Singapura yang merupakan pemenang empat kali Piala AFF, Oman dan Kepulauan Solomon pasti memberi saingan hebat kepada pasukan negara,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pengumuman penganjuran sulung Piala Airmarine di sini, hari ini.
Undian Piala Airmarine akan dibuat minggu depan dengan dua perlawanan separuh akhir diadakan 20 Mac ini, disusuli aksi final pada 23 Mac bagi penentuan pemenang sulung piala berkenaan.
Sementara itu, Yusoff memaklumkan skuad Harimau Malaya yang beraksi pada kejohanan itu tidak akan dibarisi pemain Bawah 23 tahun (B-23) kerana mahu mengutamakan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang bakal mengharungi Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada bulan sama.
“Kali ini keutamaan diberikan kepada skuad Kim Swee bagi persiapan menghadapi Kelayakan AFC B-23. Perkara itu telah dibincangkan,” ujarnya.










