TEL AVIV 16 FEB. – Bekas Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman mendakwa rejim Zionis akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas wilayah Palestin termasuk Semenanjung Gaza pada bila-bila masa dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Lieberman sebagaimana lapor Press TV sekali lagi mengulangi retoriknya dengan menyatakan perang terhadap kumpulan pejuang Palestin itu bakal menjadi serangan yang terakhir berdasarkan penilaian risikan tentera Israel baru-baru ini.

Pemimpin Parti Yisrael Beteinu berusia 60 tahun itu berkata, penilaian tentera berkenaan adalah konsisten dengan taksiran yang dibuatnya sejak beberapa tahun lalu.
Berita berkaitan:
Lieberman turut menyindir kerajaan Israel dengan mendakwa, tindakan rejim tidak melancarkan serangan terhadap Semenanjung Gaza hanya menguatkan lagi pertahanan kumpulan pejuang tersebut.
Katanya, penghantaran dana dan minyak kepada Gaza oleh Qatar sebagai tambahan kepada usaha meluaskan kawasan perikanan Palestin sebenarnya menguatkan lagi Briged Izzuddin al-Qassam, sayap bersenjata pergerakan Hamas.
Beliau dengan tegas membantah tindakan Israel yang membenarkan Qatar menyalurkan sebanyak AS$15 juta (RM61 juta) untuk membayar gaji kakitangan kerajaan Palestin di Gaza, minggu lalu.
Sementara itu, Lieberman mendakwa, sokongan masyarakat awam di Gaza dan sekitar Tebing Barat terhadap pergerakan Hamas semakin bertambah.
Lieberman meletak jawatan sebagai Menteri Pertahanan pada 14 November tahun lalu, kurang sehari selepas Hamas dan beberapa kumpulan pejuang lain bersetuju untuk melakukan gencatan senjata dengan Israel.
Beliau menyifatkan persetujuan itu sebagai tindakan menyerah kalah kepada keganasan. – AGENSI











