RANTAU PANJANG 14 Feb. – Penagih yang mempunyai lebih daripada dua kesalahan berkait dengan dadah akan didakwa oleh polis negeri ini di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara mandatori selama lima tahun dan tiga kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, tindakan itu bertujuan memberikan pengajaran kepada penagih supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut pada masa hadapan.
“Peraturan ini sudah lama wujud, kita guna pendekatan ini kerana ia telah menunjukkan keberkesanannya dalam mengurangkan penyalahgunaan dadah di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.
Dalam kejohanan itu pasukan daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Hasanuddin turut menyeru kepada para penagih supaya meninggalkan terus penyalahgunaan dadah dan berubah ke arah yang lebih baik.
Katanya, dadah tidak membawa sebarang keuntungan sebaliknya mengundang kemudaratan yang lebih buruk bukan sahaja pada diri malah keluarga dan masyarakat.
“Polis Kelantan akan terus berusaha melalui pasukan narkotik memperhebatkan lagi operasi dalam mengurangkan masalah ini. Setiap pagi saya melakukan pemantauan berkaitan isu dadah ini.
“Kami akan bermati-matian membanteras dadah bagi memastikan masalah penagihan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Hasanuddin turut memuji komitmen masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkait dengan dadah.










