Peniaga tamak dikompaun hari pertama Tahun Baru Cina - Utusan Malaysia

Peniaga tamak dikompaun hari pertama Tahun Baru Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sikap tamak tujuh peniaga mengaut keuntungan dengan menjual barangan melebihi harga syiling Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SKHMP TBC) mengundang padah selepas dikompaun pihak berkuasa, semalam. 

Dalam operasi serentak di seluruh Selangor bermula pukul 8 pagi pada hari pertama Tahun Baru Cina itu mencatatkan nilai keseluruhan kompaun yang dikenakan mencecah RM1,000. 

Ketua Pegawai Peguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, dalam operasi itu kesalahan melibatkan empat kes alat timbang telah tamat tempoh penentusahan dan tiga kes tidak meletakkan tanda harga. 

Katanya, peniaga sengaja menggunakan alat timbang tamat tempoh sejak bulan November lalu. 

“Walaupun mereka mempunyai alat timbang yang sah penentusahannya namun peniaga tidak menggunakannya sebaliknya menyimpan di belakang kedai mereka. 

“Peniaga juga dikatakan menjual ayam yang merupakan barangan dikawal pada harga sehingga RM8 walaupun harga dibenarkan adalah RM7.50,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Azman menambah, kes disiasat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Jelas beliau, dalam operasi disertai 60 anggota termasuk pegawai itu telah memeriksa 397 permis keseluruhannya di sekitar pasar utama, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong. 

“Justeru, kita menasihatkan para peniaga di seluruh negeri ini sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan  bagi memastikan pengguna mendapatkan hak mereka.

“Orang ramai juga diminta menjadi pengguna bijak dan menyalurkan sebarang maklumat dan aduan menerusi portal eaduan.kpdnhep.gov.my,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN