PUTRAJAYA – Para pengusaha hospitaliti berasaskan komuniti, Airbnb di negara ini yang masih belum berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya digesa agar segera berbuat demikian.
Ketua Setiausahanya, Datuk Isham Ishak berkata, usaha itu bagi membolehkan pihak kementerian mengadakan pertemuan dengan pengusaha berdaftar antara lain bagi memahami butiran perniagaan dari segi operasi, jenis dan lokasi perkhidmatan.
“Pihak kementerian mahu para pengusaha Airbnb ini didaftarkan terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengan mereka untuk melihat cara bagaimana kita dapat membantu dari segi kebajikan kerana ia adalah satu kaedah perkhidmatan baharu.
“Pada masa sama kita juga mahu memastikan kebajikan pelancong yang menggunakan perkhidmatan fasiliti mereka juga terjaga,” katanya pada sidang akhbar prestasi pelancongan Malaysia 2018 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.
Sementara itu, Isham berkata, buat masa ini, pihaknya tidak ada perancangan untuk memberi lesen perniagaan memandangkan perkhidmatan penginapan berasaskan komuniti itu masih baharu di negara ini.
Sebelum ini, pihak kementerian menyeru pengusaha-pengusaha tidak berdaftar dan Airbnb di seluruh negara agar berdaftar segera dengan kementerian sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.
Kelewatan berbuat demikian memungkinan pengusaha-pengusaha terbabit dikenakan tindakan keras dari kementerian dan pihak berkuasa tempatan. – K! ONLINE











