SEMENYIH 14 Feb. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan Barisan Nasional (BN) meletakkan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi sebagai calon, sementara jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali pula akan bertanding bagi pihak Pakatan Harapan (PH).
Pengumuman calon BN dilakukan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, sementara Timbalan Presiden PH merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan calon PH.
Mohamad berkata, BN menamakan calon tempatan kerana tidak mahu payung terjun atau orang luar yang beri saingan pada PRK ini,
Zakaria, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Antara yang hadir pada majlis pengumuman calon BN ialah Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, Naib Presiden MCA Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal 26 Feb dan pengundian pada 2 Mac.
Muhammad Aiman, 30, pula merupakan seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan). – UTUSAN ONLINE










