ALOR SETAR 6 Feb. – Pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis yang baharu ekoran kekosongan jawatan itu baru-baru ini, tidak semestinya dalam kalangan anak tempatan di negeri itu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, namun individu berkenaan mestilah yang berjawatan tinggi dalam parti tersebut.
Beliau memberitahu, jawatan tersebut akan ditentukan berdasarkan kepada penilaian ketiga-tiga bahagian di Perlis untuk melihat individu lebih layak menerajui Bersatu di negeri itu.
Katanya, buat masa ini, jawatan Pengerusi Bersatu Perlis yang sebelum ini disandang oleh Ketua Bersatu Bahagian Arau, Ameir Hassan, akan diambil alih oleh Setiausaha Agung Bersatu Kebangsaan, Datuk Marzuki Yahya.
“Proses kini adalah menilai ketiga-tiga bahagian bagi melihat siapa yang boleh terajui (Bersatu Perlis) atau adakah perlu penstrukturan semula. Kesemua itu dalam pertimbangan dan Setiausaha Agung akan melaporkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Bersatu yang terdekat.
“Ia bagi membolehkan keputusan dibuat dan disyorkan kepada kepemimpinan tertinggi. Kita tengoklah, kadang-kadang Pengerusi Badan Pimpinan Negeri tidak semestinya orang tempatan (tetapi)
dalam kalangan pimipinan tertinggi partilah,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyampaian Sumbangan di sini hari ini.
Baru-baru ini, jawatan Ameir telah ditamatkan ekoran kemelut yang melanda Bersatu negeri sebelum ini.
Kini, timbul pula desas-desus mengatakan bahawa bekas Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah individu yang paling sesuai memegang jawatan tersebut.
Sementara itu, Mukhriz berkata, perang saraf yang kononnya memainkan isu perpecahan dalaman Bersatu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sebagai taktik lapuk.
“Saya rasa itu propaganda pihak lawan yang mungkin boleh agak nama-nama yang mungkin dicalonkan, jadi mereka cepat-cepat lakukan perang saraf. Ini taktik lama, kami pun dari UMNO dahulu dan faham sangat dah cara itu,” katanya mengulas beberapa sepanduk dan risalah yang menyatakan rasa tidak senang dengan beberapa individu yang dipercayai dicalonkan bagi PRK berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz berkata, proses pemilihan calon masih lagi berlangsung dan Bersatu sedang mempertimbangkan semua tokoh yang berada di situ termasuk daripada sayap Srikandi dan Armada serta individu dari luar kawasan tersebut.
Beliau juga pada masa sama mengakui terkejut dengan khabar angin yang mengaitkan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza sebagai calon PRK Semenyih kerana nama selebriti itu tidak pernah timbul sepanjang beliau terlibat dalam proses penilaian dan pemilihan calon-calon. – UTUSAN ONLINE










