KUALA LUMPUR 13 Feb. – Seorang pengawal keselamatan dihukum denda maksimum RM500 atau penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berada dalam keadaan merusuh dengan menghentak meja dan membaling pen semasa berada di balai polis, minggu lalu.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Ashok Kumar, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu
didakwa berkelakuan merusuh dengan menghentak meja dan membaling pen semasa berada di dalam Balai Polis Masjid India, Jalan Masjid India, Dang Wangi di sini pada pukul 7.15 petang, 7 Februari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung keluarga, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. – UTUSAN ONLINE.










