FRANKFURT 27 Feb. – Kira-kira 385,000 orang di seluruh dunia meninggal dunia pada 2015 akibat pencemaran udara yang disebabkan oleh pelepasan ekzos kenderaan, menurut kajian Amerika Syarikat (AS) yang turut menyatakan enjin diesel sebagai punca utama.
Kenderaan diesel menyumbang 47 peratus kematian tetapi angka itu melonjak setinggi 66 peratus di Perancis, Jerman, Itali dan India.
Kajian itu dijalankan oleh penyelidik Majlis Antarabangsa mengenai Pengangkutan Bersih (ICCT), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendedahkan skandal penipuan ‘dieselgate’ pengeluar kereta ternama pada 2015, dan pengkaji dari dua buah universiti di AS.
“Kesan kesihatan awam yang dibawa oleh kenderaan diesel yang tinggi di Eropah menekankan perlunya piawaian pelepasan bertaraf dunia disertai pematuhan dan penguatkuasaan yang ketat,” kata Pengarang Bersama ICCT, Joshua Miller.
Dalam kajian itu, penyelidik melihat kepada pelepasan dari kenderaan diesel dan bukan diesel, trak, bas, industri perkapalan serta jentera pertanian dan pembinaan selain kesannya terhadap kesihatan manusia.
Kajian mendapati sektor pengangkutan global ‘bertanggungjawab’ terhadap 11 peratus daripada 3.4 juta kematian pramatang setiap tahun disebabkan oleh pencemaran daripada zarah halus (PM2.5).
Kos beban kesihatan yang disebabkan oleh pencemaran pengangkutan yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru dan jantung, strok serta diabetes, bertambah kepada AS$1 trilion (RM4.07 trilion) pada 2015. – AFP











