Pemuda UMNO mahu kemenangan hatrik - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO mahu kemenangan hatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 19 Feb. – Pemuda UMNO mahu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menjadi sebahagian daripada hasrat untuk mencipta kejayaan hatrik dalam PRK.

Naib ketuanya, Shahril Sufian Hamdan berkata, selepas berjaya memenangi PRK Cameron Highlands, momentum kemenangan itu perlu diteruskan di PRK Semenyih ketika ini serta di PRK Rantau akan datang.

“Jentera Pemuda UMNO semakin kuat dalam setiap PRK, kalau kita lihat sejak PRK yang pertama ia semakin utuh jadi saya lihat dari Cameron Highlands kita bawa ke sini seterusnya ke Rantau, insya-Allah akan semakin baik lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Rantau, kami ada keyakinan penuh apatah lagi bakal calon kita adalah Timbalan Presiden kita sendiri, mempunyai populariti yang cukup tinggi, kita yakin insya-Allah kemenangan sekali lagi untuk kita beri hatrik di Cameron Highlands, Semenyih dan seterusnya di Rantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui pemberita selepas bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di Taman Kantan Permai, Kajang di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu di DUN Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi DUN Rantau untuk diadakan.

Sementara itu, Shahril Sufian menyifatkan penyebaran risalah provokasi serta pemasangan kain rentang yang antaranya memaparkan perkataan perompak dan penyamun dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu tindakan oleh pihak yang cemburu dengan gelombang BN ketika ini.

“Kalau seseorang itu belum disabitkan dengan kesalahan mana mungkin kita memanggilnya sebagai perompak. Saya nampak ini sebagai tindakan cemburu dengan gelombang bukan hanya Bossku tetapi juga gelombang BN yang semakin kuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN