Pemuda Pakistan dikhuatiri lemas di Paka - Utusan Malaysia

Pemuda Pakistan dikhuatiri lemas di Paka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Seorang lelaki warga Pakistan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika mandi-manda bersama tiga rakannya di Pantai Petak, Paka di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, dikatakan lemas selepas dipukul ombak besar ketika cuba mengambil bola yang hanyut ke tengah laut.

Menurut rakan mangsa, Muhammad Kassim, 30, Muhammad Bilal baru sahaja tiba dari Lahore, Pakistan empat hari lalu kerana melawat rakan-rakannya yang bekerja di sini.

“Pada awalnya, kami sudah berjaya memegang tangannya, tetapi disebabkan ombak besar tiba-tiba datang, pegangannya terlepas menyebabkan kami semua terpisah.

“Bagaimanapun, kami bertiga berjaya berenang hingga ke tepi pantai sementara Bilal tidak dapat diselamatkan. Dengan pertolongan orang awam kami terus membuat laporan di balai polis berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Baharudin Abdullah berkata, 20 anggota termasuk pasukan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Beliau berkata, disebabkan keadaan ombak yang kuat, pasukan SAR terpaksa menggunakan kaedah pencarian di pesisir pantai di lingkungan satu kilometer di kiri dan kanan lokasi kejadian.

“Sehingga pukul 7 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN