Pemandu lori didakwa tunjuk kemaluan kepada budak lapan tahun - Utusan Malaysia

Pemandu lori didakwa tunjuk kemaluan kepada budak lapan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASAH 14 Feb. – Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang kanak-kanak perempuan pada Januari lalu.

Ismail Shansuddin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa.

Mengikut kertas pertuduhan, dia yang sudah berumahtangga didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun lima bulan dengan cara menunjukkan kemaluan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Tanah Perkuburan Islam Jelai 2 (F) Gemas, Tampin kira-kira pukul 7 petang pada 10 Januari lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-keduanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah Abdullah.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan jaminan yang rendah kerana pendapatannya hanya RM1,000 sebulan selain perlu menyara isteri dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian memutuskan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mac depan.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Balai Polis Tampin setiap 15 hari bulan setiap bulan selain dilarang berhubung atau berkomunikasi dengan mangsa dan keluarganya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN