SABAK BERNAM – Perbuatan jahat seorang lelaki warga Myanmar mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) sejak Ogos lalu berakhir selepas diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Panchang Bedena di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 1.20 petang pada 9 Februari lalu, suspek berusia 32 tahun merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa- Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, hasil siasatan awam mendapati suspek bergerak bersendirian melakukan kegiatan jenayah itu di sekitar daerah ini.
Katanya, ini mengakibatkan talian telefon sering terputus sehingga menyukarkan para penduduk di daerah ini.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemui sembilan jenis barangan termasuk kabel TM dan bateri sel kering.
“Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas beliau, suspek direman selama dua minggu bermula 10 Februari lalu dan kes disiasat Seksyen 379/431 (A) Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











