Pelantikan Menteri Pengerusi Nafas, tidak cerminkan kehendak akar umbi petani - Utusan Malaysia

Pelantikan Menteri Pengerusi Nafas, tidak cerminkan kehendak akar umbi petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 6 Feb. – Pelantikan Menteri Jawatan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang baharu, baru-baru ini, tidak mencerminkan kehendak akar umbi golongan petani.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman yang berkata, sewajarnya jawatan tersebut dilantik dalam kalangan wakil Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Kata beliau, ahli-ahli LPP di peringkat akar umbi memerlukan wakil dalam kalangan mereka dan bukannya ‘orang luar’ untuk membawa suara golongan petani.

“Pelantikan Menteri jawatan Pengerusi (AJP Nafas) ini tidak menjiwai perasaan kami, golongan petani,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 23 Januari lalu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi diumumkan sebagai Pengerusi AJP Nafas yang baharu.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub selepas tempoh penggantungan perlembagaan Nafas tamat pada 15 Januari lalu.

Turut diumumkan adalah lima AJP Nafas lantikan menteri, dengan tiga daripadanya adalah daripada Amanah dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka ialah Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim; ADUN Apam Putra, Mohd. Hisyamuddin Ghazali; ADUN Mahkota yang juga Ketua Amanah Simpang Renggam, Muhamad Said Jonit; Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Cabang PKR Shah Alam, Dr. Yaakob Sapari dan Normah Yusof.

Dalam pada itu, Abdul Lateh turut mempersoalkan langkah LPP yang kini mengenakan bayaran terhadap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi setiap pengauditan untuk Mesyuarat Agung Tahunan.

“Sebelum ini, bayaran tidak dikenakan kerana lebih merupakan perkhidmatan untuk ahli,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN