Pelancongan sumbang RM84.1 bilion kepada ekonomi negara - Utusan Malaysia

Pelancongan sumbang RM84.1 bilion kepada ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sektor pelancongan menyumbang RM84.1 bilion kepada ekonomi negara bagi tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding RM82.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jumlah itu direkodkan menerusi ketibaan pelancong antarabangsa seramai 25.8 juta yang melawat negara sepanjang tahun lepas berbanding 25.9 orang pada tahun 2017.

Menurutnya, walaupun terdapat sedikit penurunan dari segi ketibaan pelancong iaitu sebanyak 0.4 peratus, prestasi pelancongan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam aspek perbelanjaan per kapita dan purata tempoh tinggal (ALOS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari segi jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong pula, rantau ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar dengan menyumbang sebanyak RM48.5 bilion. 

“Sementara itu, pelancong Asia Barat telah mencatatkan perbelanjaan per kapita tertinggi sebanyak RM9,947 meningkat sebanyak 6.1 peratus berbanding RM9,378.50 pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar prestasi pelancongan Malaysia 2018 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamaddin berkata, perbelanjaan pelancong adalah tertumpu kepada segmen beli-belah sebanyak 33.4 peratus diikuti penginapan (25.7 peratus) dan makanan dan minuman (13.4 peratus).

“Perbelanjaan untuk beli-belah telah mencatatkan kenaikan daripada 32.7 peratus pada tahun 2017 kepada 33.4 peratus pada tahun lalu sekali gus melangkaui komponen penginapan yang telah mencatatkan peratusan sebanyak 25.6 peratus pada 2017 kepada 25.7 pada tahun lepas.

“Barangan kraftangan Malaysia merupakan item popular yang dibeli oleh pelancong selain makanan,” katanya.

10 pasaran tertinggi yang menjana pelancong ke negara ini pada tahun lalu ialah Singapura dengan 10,615,986 orang, Indonesia (3,277,689), China (2,944,133), Thailand (1,914,692), Brunei (1,382,031), Korea Selatan (616,783), India (600,311), Filipina (396,062), Jepun (394,540) dan Taiwan (383,922). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN