KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan ke atas satu laporan yang dibuat oleh pihak Peguam Negara berhubung dakwaan ke atas Tommy Thomas di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung dakwaan tersebut hari ini oleh pihak Peguam Negara.
“Laporan itu dibuat ekoran terkesannya dakwaan tersebut yang kini tular di laman sosial Facebook serta aplikasi Whatsapp.
“Siasatan telah dimulakan ke atas kes ini yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” tegas beliau dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu, dua pegawai khas peguam negara hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sekitar pukul 3 petang hari ini bagi membuat laporan berhubung isu dakwaan tersebut yang mengaitkan Tommy Thomas dengan sikap anti-Islam.
Kandungan dakwaan tersebut yang kini tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp berbunyi,
“Dah blh (boleh) perangi golongan haprak ni- peguam negara dah (sudah) bersuara: penghinaan nabi dan Islam bukan penjenayah, mereka berhak lontarkan pandangan” (Tommy Thomas). K! ONLINE











