Pakatan 16 negeri saman Donald Trump - Utusan Malaysia

Pakatan 16 negeri saman Donald Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO 19 Feb. – Sebanyak 16 negeri memfailkan tuntutan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan keputusannya mengisytiharkan darurat nasional bagi mendesak kelulusan dana pembia­yaan tembok sempadan negara ini dengan Mexico.

Menurut laporan BBC, antara negeri yang memfailkan injunksi terhadap pengisy­tiharan darurat itu adalah California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Maine, Maryland, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, Ore­gon dan Virginia.

Tuntutan ber­kenaan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan di California menyatakan arahan Trump bertentangan dengan Klausa Penyerahan yang menggariskan prosedur perundangan serta Klausa Peruntukan, mentakrifkan Kong­res sebagai pembuat keputusan akhir dana awam.

Langkah tersebut sebelum ini diumumkan oleh peguam bela awam California, Xavier Becerra.

Becerra berkata, California dan beberapa negeri lain tidak mahu negara ini berisiko kehilangan wang yang bertujuan digunakan untuk projek ketente­raan, bantuan bencana serta tujuan-tujuan lain.

“Kami mengheret Trump ke mahkamah adalah untuk menghalang beliau terus me­nyalahgunakan kedudukannya sebagai Presiden.

“Ini juga adalah untuk menghalang beliau supaya ber­henti melakukan rom­pakan ke atas wang pembayar cukai dengan me­ngetepikan keputusan Kong­­res. Pe­jabat Presiden bukanlah tempat untuk berdrama,” katanya.

Beberapa Senator Republikan ju­ga menyatakan kebimbangan mengenai pengisytiharan da­rurat berkenaan.

Pengisytiharan darurat yang dibuat pada Jumaat lalu membolehkan Presiden mengambil dana daripada bajet pembinaan ketenteraan dan sumber lain untuk disalurkan ke pembinaan tembok berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×