LONDON 27 Feb.- Newcastle United terus cemerlang dengan melakar kemenangan keempat berturut-turut di Stadium St. James Park, selepas menewaskan Burnley 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Kemenangan itu, menyaksikan skuad kendalian Rafa Benitez melonjak ke tangga ke-13 liga, selain meleburkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah Burnley.
Rembatan deras pertahanan muda tuan rumah, Fabian Schar daripada jarak 28 meter meletakkan pasukan Newcastle di depan pada minit ke-28.
Pemain tengah, Sean Longstaff terus menggandakan jaringan menerusi gol kedua pada minit ke-38 sekali gus meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 dalam babak pertama.
Bersambung babak kedua, Burnley cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan namun barisan pertahanan Newcastle bijak menyerapkan asakan skuad kendalian Sean Dyche.
“Saya amat bangga. Pemain-pemain layak menerima banyak pujian, mereka tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar menentang pasukan yang menampilkan corak permainan fizikal.
“Kami menguruskannya dengan baik pada babak pertama dan memperoleh kawalan manakala pada babak kedua kami terpaksa bertahan bagi menghalang bola hantaran jauh dan kami melakukannya dengan baik,” kata Benitez.
Sementara itu, selepas aksi cemerlang, Sabtu lalu ketika mereka menewaskan pencabar kejuaraan, Tottenham 2-1 namun Dyche mengakui pemainnya mengalami keletihan.
“Persembahan babak pertama yang buruk buat dan sangat jauh daripada permainan sebenar kami. Saya tidak mahu terlalu mengkritik tetapi kami tidak memiliki semangat juang yang kami ada sebelum ini,” ujarnya. – REUTERS











