Negara rugi RM157 juta akibat cetak rompak digital - Utusan Malaysia

Negara rugi RM157 juta akibat cetak rompak digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM157 juta pada tahun 2016 berikutan kehilangan hasil cukai akibat aktiviti cetak rompak digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pada tahun sama, industri kreatif negara turut mengalami kerugian RM1.05 bilion dan 1,900 kehilangan pekerjaan dalam bidang penyiaran dan perfileman akibat kegiatan haram itu.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat setiap tahun jika tindakan tegas tidak diambil terhadap penjenayah,” katanya ketika berucap sempena Persidangan Anticetak Rompak Kandungan Digital Kuala Lumpur, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Hotel Marriott di sini hari ini.

Sementara itu, Gobind berkata, syarikat keselamatan platform digital, Irdeto, mendapati, Malaysia merekodkan perkongsian kandungan cetak rompak digital kedua terbesar di Asia Tenggara dengan kadar 17 peratus pada tahun 2016.

Tambahnya, pada tahun lepas, pengguna internet di negara ini juga didapati memuat turun 84 juta kandungan fail merangkumi rancangan televisyen dan filem menerusi perisian Bittorrent.

“Perangkaan ini menunjukkan industri media dan hiburan tempatan yang selama ini menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negara menerima kesan hebat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN