HULU LANGAT 26 Feb.- Nasihat daripada anak-anak dan pengambilan makanan tambahan merupakan rahsia calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, 58, kekal sihat walaupun berdepan jadual padat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Zakaria berkata, beliau bersyukur anak-anaknya mempunyai latar belakang perubatan dan sering memberikan nasihat selain turut membantu dengan membekalkan suplemen.
“Saya bersyukur, anak-anak ada latar belakang perubatan sikit,. mereka banyak belikan suplemen dan beri nasihat kepada saya supaya menjaga kesihatan dan berehat sedikit.
“Kehidupan memang berubah 360 darjah, setakat ini tidur paling cepat pukul 2 pagi. Dua tiga jam tidur sudah kena bangun berkempen, isteri nampak sedikit risau tapi anak-anak baik-baik sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi beberapa penduduk di Bandar Sunway Semenyih, di sini hari ini.
Sementara itu, Zakaria memberitahu, jentera kempen BN akan terus fokus dengan tugas bertemu seramai mungkin penduduk menjelang hari pengundian meskipun terdapat laporan kajian mendakwa populariti Pakatan Harapan (PH) kini mendahului calon lain di PRK Semenyih.
“Biarlah masing-masing punya kajian, tapi kita teruskan sajalah. Kita tak tahu kajian itu fokusnya di mana, tidak mengapalah, semua pihak bebas buat kajian, kita terima tetapi kita tetap jalankan kempen,” katanya.
Media hari ini melaporkan, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Malaya bagi PRK Semenyih mendapati populariti PH mendahului parti lain.
Kaji selidik itu dilakukan beberapa hari lepas di Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) di Semenyih. – UTUSAN ONLINE










