Kita selalu mendengar tentang kisah anak yatim. Namun, tidak ramai yang sanggup menampung keperluan serta kehendak mereka seperti makanan, pakaian, tempat berlindung dan pendidikan.
Enggan melihat kehidupan anak yatim dan miskin terus dibelenggu masalah pada usia kecil dan mahu mereka berjaya dalam hidup, Timbalan Pengerusi Rumah Bakti Nur Syaheera, Suzana Jafar, 51, tekad membuka rumah kebajikan bagi memberi mereka kehidupan yang lebih sempurna.
Kesanggupannya meninggalkan kerjaya sebagai guru penolong kanan di sebuah sekolah membuktikan ketulusan hatinya menyayangi dan memelihara anak yatim yang memerlukan kasih sayang ibu bapa.
Tanpa mengira faktor cuaca panas yang kadang kala disirami hujan, Suzana dan suaminya, Johari Basri, 55, tidak segan berhadapan dengan orang ramai untuk meminta bantuan dan derma bagi membolehkan operasi sekolah kebajikan tersebut berjalan lancar.
Jelasnya, dia mula berhasrat membantu anak yatim dan miskin sewaktu membantu rakan kepada suaminya yang sedang mencari dana untuk rumah anak yatim yang dikelolakannya.
“Pada masa itulah kami mengenali apa itu rumah anak yatim. Oleh kerana susahnya rumah anak yatim itu (kelolaan rakan), kami belajar meminta derma daripada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur.
“Melalui pengalaman itu, saya semakin dekat dengan anak yatim. Pada 2007 suami dan rakan-rakannya mendirikan sebuah rumah anak yatim di Pengkalan Hulu, Perak yang dikenali sebagai Rumah Anak Yatim dan Miskin At-Taqwa.
“Kemudian, saya dan suami mengambil langkah membuka sebuah lagi rumah anak yatim di Cheras iaitu Rumah Bakti Nur Syaheera di bawah naungan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur pada 2009,” katanya kepada Mega Rona.
Tambahnya, setahun pertama operasi merupakan waktu yang sukar kerana perlu mencari dana untuk membangunkan rumah kebajikan tersebut serta dalam masa sama keperluan anak yatim perlu dipenuhi.
Suatu masa, suaminya yang juga bekas anggota polis terpaksa menjual kereta dan pernah melalui pengalaman kereta ditarik kerana tidak dapat membayar ansuran bulanan untuk memastikan tanggungjawab terhadap keperluan anak-anak yatim dan miskin dipenuhi.
“Saya tidak pernah berhenti untuk mengedar risalah bagi membolehkan orang ramai mengetahui tentang kewujudan rumah kebajikan tersebut yang kini menempatkan 32 pelajar.
“Saya tidak malu untuk pergi ke pasar malam, pasar raya dan kedai makan untuk memastikan orang ramai mengenali rumah kebajikan tersebut sekali gus berkongsi saham akhirat dengan mereka yang sudi menghulurkan sumbangan.
“Alhamdulillah atas berkat usaha itu, rumah kebajikan ini sering menerima bantuan daripada pelbagai pihak. Kini kami menyewa tiga buah rumah teres dua tingkat untuk menampung pelajar-pelajar ini,” jelasnya.
Kehidupan seperti anak lain
Pilu hati Suzana melihat anak yatim dan miskin terpaksa tidur di kaki lima, perlu menahan malu dan makian orang ramai ketika meminta sedekah.
Lebih sedih hatinya apabila memikirkan masa depan golongan tersebut yang terbiar tanpa didikan agama dan kasih sayang kedua orang tua.
Tanpa menoleh ke belakang lagi, dia dan suaminya berhasrat memberi keperluan asas kepada anak-anak tersebut seperti makan, minum, tempat tinggal, peralatan sekolah dan lain-lain mengikut kemampuan pertubuhan.
“Anak-anak ini akan dihantar ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain. Kanak-kanak yang menuntut di sekolah menengah dihantar ke tuisyen. Tidak lupa, kami menjemput ustaz ke rumah kebajikan ini untuk mengajar mengaji agar seimbang ilmu dunia dan akhirat,” ujarnya.
Ibu kepada lapan anak itu menganggap anak-anak yatim dan miskin sebagai anaknya sendiri dan sentiasa menjadi pendengar setia terhadap masalah mereka.
“Setiap petang saya akan memanggil anak-anak ini untuk berkongsi dan memberi nasihat sekiranya mereka mengalami masalah di sekolah. Kanak-kanak ini juga tidak segan untuk berkongsi masalah dan sebagai ibu, saya cuba menasihati serta mencari jalan penyelesaian bagi masalah mereka,” katanya lagi.
Tambah Suzana, kanak-kanak itu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain seperti menghadiri pelbagai program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan dan swasta seperti majlis berbuka puasa, majlis makan malam, jamuan raya dan sebagainya.
“Malah pada setiap hujung minggu kami akan membenarkan mereka keluar untuk menonton wayang, berekreasi atau membeli-belah agar dapat melihat dunia luar.
Seperti ibu bapa lain, kami akan bekalkan dengan sedikit wang untuk mereka berbelanja.
“Pada hujung tahun, saya akan pastikan kanak-kanak ini bercuti. Kami akan merancang percutian khas buat mereka,” ujarnya.
Buka akaun untuk masa depan
Kanak-kanak yatim dan miskin ini akan dijaga dan ditanggung sehingga mereka mampu berdikari dan mencari nafkah sendiri.
Selain memberi duit belanja ke sekolah, kami akan membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk setiap seorang.
“Duit sumbangan yang mereka terima terutama ketika bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan disimpan di dalam akaun tersebut untuk kegunaan mereka pada masa depan.
“Kami tidak akan sentuh hak mereka. Duit yang mereka terima akan disimpan agar boleh dimanfaatkan satu hari nanti,” katanya.
Dia menambah, seorang daripada kanak-kanak itu mampu membeli sebuah motosikal hasil daripada menabung duit belanja sekolah dan sumbangan pelbagai pihak.
“Saya berharap kanak-kanak yatim dan miskin ini berjaya dalam hidup,” ujarnya.











