KATHMANDU – Menteri pelancongan Nepal, Rabindra Adhikari adalah antara individu yang terkorban hari ini apabila sebuah helikopter terhempas di kawasan berbukit di negara berkenaan, kata beberapa pegawai.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat Adhikari, 49, juruterbang dan lima penumpang lain dari sebuah lereng bukit di daerah Taplejung di mana helikopter milik syarikat pengangkutan udara, Air Dynasty itu terhempas.
“Identiti menteri terbabit telah dikenal pasti,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ram Krishna Subedi pada satu sidang akhbar.
Subedi berkata, dua buah helikopter tentera dikerah untuk membawa semua mayat tersebut pulang ke ibu kota, Kathmandu.
Setakat ini masih tidak jelas punca helikopter itu terhempas.
“Helikopter itu berkecai, serpihannya bertaburan merata-rata,” kata saksi yang melihat serpihan-serpihan tersebut, Suraj Bhattarai.
Identiti mayat lain masih belum dikenal pasti.
Ketika kejadian, menteri berkenaan dalam perjalanan untuk meninjau lokasi bagi membina sebuah lapangan terbang baharu di rantau itu. – AFP











